Sunday, May 22, 2011

Di Manakah Hendak Dicari Ketenangan Hakiki?


“Dalam jantung hati ada keserabutan yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan mengadap Allah, padanya ada kesunyian yang tidak dapat dihilangkan melainkan perdampingan dengan Allah, padanya ada dukacita yang tidak dapat ditanggalkan kecuali dengan kegembiraan mengenali Allah dan ketulusan berhubungan denganNya, padanya ada kegusaran yang tidak ditenangkan melainkan bersama Allah dan kembali kepadaNya, padanya ada api kedukaan yang tidak dapat dipadamkan melainkan redha dengan perintah, larangan dan ketentuan Allah, menghayati kesabaran sehingga bertemuNya, padanya ada kefakiran yang tidak dapat ditampung melainkan dengan cinta dan penyerahan diri kepada Allah, sentiasa mengingatiNya, keikhlasan yang benar kepadaNya”.


 Penawar
Itulah penawar bagi jantung hati insan. Itu ubat bagi nurani insan. Dunia dan segala isinya tidak akan dapat membawa kebahagiaan ke dalam sanubari insani, jika insan itu tidak mengenali Allah, mendampingiNya, memohon daripadaNya, merintih dan menangis di hadapan kebesaranNya. Insan telah mencuba pelbagai perkara dalam kehidupan, tetapi mereka tetap gagal menemui sakinah, kebahagian dan ketenangan yang hakiki selagi mereka tidak kembali menyerah jiwa raga, ruh dan jasad tunduk dalam sedu dan syahdu mengingati dan bertawakkal kepada Allah.
Manusia mungkin boleh menawarkan harta, wanita dan kuasa, namun belum tentu bersamanya bahagia. Justeru, seorang yang tinggal dalam rumah yang indah dan mewah, belum tentu lebih bahagia dan tenteram jiwa dari seorang yang tinggal di rumah yang usang dan buruk. Seorang wanita yang bersuami orang kaya belum tentu lebih bahagia dari seorang wanita yang bersuami lelaki biasa. Seorang yang beristeri cantik, belum tentu lebih bahagia dari yang beristeri tidak seberapa. Bahkan yang dihidangkan makanan lazat, belum tentu dapat menikmatinya melebihi seorang yang hanya dihidang makanan kebanyakan. Maka, jangan hairan jika negara-negara maju dan kaya seperti Perancis, Germany, Jepun, Austria peratusan rakyat mereka yang membunuh diri tinggi. Kebahagiaan bukan soal harta, tetapi soal jiwa insani yang kahausan kasih dan cinta ilahi.


Sakinah
Mengetahui agama belum tentu menjadikan seseorang mendekatkan diri kepada Allah. Betapa banyak insan yang memakai pelbagai gelaran agama, namun mereka gagal mendampingkan diri kepada Allah. Maka, untuk mencari kebahagian dan sakinah, insan bukan sekadar berilmu, tetapi hendaklah mengikhlaskan diri kepada Allah, menyerah dan bergantung kepadaNya. Apabila jiwa bersih dari sebarang unsur syirik, apabila ditanggalkan dari nurani ini kebesaran dan pergantungan kepada makhluk, ditempatkan hakikat tawakal kepada Allah, apabila insan sentiasa berdoa; rintihan, harapan, rayuan, esakan dan tangisan kepada Allah, dilontar jauh segala perharapan jiwa kepada selainNya, maka insan akan menemui hakikat kenikmatan hidup.


Apabila zahir dalam kehidupannya apa yang dia sering kita ungkapkan dalam Surah al-Fatihah: “Hanya Engkau kami sembah dan hanya Engkau kami mohon pertolongan”, maka zahir keyakinan hidup dan kenikmatan yang tiada bertebing bagi sebuah diari yang singkat ini. Moga kenikmatan yang lebih besar di akhirat menanti. Apabila zahir hakikat ini dalam hidup, lahirlah kehidupan yang berprinsip, dibukakan laluan kehidupan dan sentiasa dibimbing dalam menuju garis penamat riwayat dunia ini. Lahirlah insan soleh yang kakinya memijak bumi, jiwanya bergantung pada Allah. Lahirlah insan soleh yang siangnya bagaikan perwira yang tangkas, namun dalam kesunyian malam dia adalah hamba yang kusyuk dan penuh sendu dan tangis merintih dan merayu kepada Allah Yang Esa.

Kita mungkin tidak dapat menyelak cabaran dan ujian dalam hidup. Manusia yang zalim dan jahat mungkin cuba merampas pelbagai hak kita dalam kehidupan, namun mereka tidak akan dapat merampas kebahagian dalam jiwa kita kerana sakinah adalah kurniaan Allah yang diturunkan dalam jiwa mukmin. Kita mungkin tidak dapat bersaingan dengan orang lain di sudut kekayaan dunia dan kenikmatannya, tetapi kita sentiasa berpeluang mendapat sakinah jika memohon dan mencarinya di sisi Allah.

No comments:

Post a Comment